Seorang pelajar kolej bengkak mata dan kabur pandangan kesan
menggunakan kanta lekap murah yang mahu digayakan sempena Aidilfitri.
Malah, mangsa, Nabila Rosli, 18, terpaksa mengeluarkan belanja besar
untuk mendapat rawatan dan pakar mata yang ditemuinya mengesahkan,
penggunaan kanta lekap tidak berkualiti menjadi punca dia mengalami
masalah mata yang teruk.
“Saya bersama tiga lagi rakan membeli kanta lekap itu di Seremban
pada harga kurang RM25 sepasang beberapa hari sebelum raya. Warna kanta
lekap itu amat cantik dan sangat murah. Apabila dipakai, anak mata saya
kelihatan berwarna kelabu.
“Pada mulanya saya pakai kanta lekap itu seperti biasa tetapi selepas
bangun pagi pada Jumaat lalu, pandangan saya kabur dan mata terasa amat
sakit,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.
Nabilah berkata, dia tidak menyangka perkara itu akan terjadi
kepadanya kerana dia sering memakai kanta lekap yang mahal selain
menjaga kebersihan yang disarankan.
“Mata bengkak teruk serta berair dan pakar mata turut mengesahkan ini
disebabkan kanta lekap murah,” katanya yang hanya duduk di rumah pada
Aidilfitri lalu kerana pandangan terlalu kabur.
Bapa mangsa, Rosli Palil, 45, berkata, beliau terpaksa berbelanja
kira-kira RM500 untuk rawatan mata anak sulungnya itu dan hanya pada
Sabtu lalu, penglihatan anaknya mula pulih sedikit demi sedikit.
“Dua hari dia seperti orang buta. Persoalannya adakah kanta lekap itu
diluluskan Kementerian Kesihatan. Bagaimana ia boleh dijual
berleluasa,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pusat Mata dan Lasik Pusat Perubatan Prince
Court, Prof Dr Muhaya Mohamad, berkata individu memakai kanta lekap
perlu menjaga kebersihan kanta lekap dengan rapi dan teliti.
“Kebersihan adalah aspek paling penting dalam pemakaian kanta lekap
kerana mata sangat sensitif dengan kekotoran yang boleh menyebabkan
jangkitan kuman yang serius.
“Saya nasihatkan pengguna jangan cepat terpengaruh dengan harga murah
kerana kebersihan dan kualiti kanta lekap berkenaan tidak terjamin,”
katanya.
WELCOME
Movie review score
5